Sunday, March 22, 2009

Bersama Y.Bhg. Ketua Pengarah KGPKK-K12.


Bercakap mengenai sarapan, En. Asri yang kami temubual pagi ini begitu bersemangat sekali mengupas tentang pentingnya sarapan pagi terutama kepada murid dan pelajar. Beliau menegaskan, Sarapan atau alas perut, makanan pagi amat penting dalam kehidupan.
"Sarapan bagai baja kepada kehidupan tumbuhan. Begitulah juga manusia yang memerlukan sarapan pada setiap pagi" tegas En. Asri.

Fenomena remaja kita hari ini yang tidak bersarapan pagi ke sekolah dianggap perkara biasa. Pada beliau, itu merupakan tanggapan yang perlu diperbetulkan. Ianya akan memberi kesan yang tidak baik kepada perkembangan fizikal dan mental mereka.

Sepatutnya mereka akan berasa selesa apabila bersarapan pagi. Sebenarnya, sarapan pagi tidak perlu terlalu berat, cukup sekadar segelas susu, sekeping roti atau sedikit bijirin.

En. Asri menegaskan bahawa otak atau minda sangat memerlukan sarapan pagi bagi merangsang pemikiran ke arah pembelajaran yang lebih cemerlang di sekolah. Sarapan pagi dikatakan dapat mencergaskan minda jika dijadikan sebagai rutin harian yang penting untuk kehidupan yang lebih berkualiti.

Katanya lagi Pakar pemakanan sependapat bahawa mengambil sarapan adalah sumber pertama untuk memulakan kehidupan seharian, sekali gus mencergaskan minda. Kajian terbaru menunjukkan orang yang bersarapan secara tetap menikmati kehidupan berkualiti, tersusun, bersikap positif, lebih langsing dan memiliki daya tumpuan yang lebih baik.

Karbohidrat yang diambil pada waktu pagi akan merangsang paras glukos dan mikro nutrien dalam otak. Contohnya, vitamin B yang diperkaya dalam roti dan bijirin sarapan dikenal pasti mampu memberikan kesan positif kepada fungsi otak.

Kesan lebih ketara dalam kalangan kanak-kanak dan remaja yang mengambil sarapan yang kaya dengan karbohidrat kompleks ialah mereka boleh menumpukan perhatian terhadap pelajaran dan menyelesaikan masalah dengan baik. Justeru, tidak hairan jika pengusaha roti dan bijirin berlumba-lumba menghasilkan produk yang diperkaya dengan pelbagai khasiat dan vitamin.

"Ingat tu... jangan tak bersarapan pagi pulak lepas ni... tauu!"

En. Asri mengakhiri temuramah kami pada pagi itu.

No comments:

Post a Comment